YANG sering tergambar di benak kita, apabila disebut KABANGKITAN [an-nadhdhah], secara otomatik kita hubungkaitkannya dengan hal-hal seperti; kemajuan di dalam pelbagai bidang keilmuan, peningkatan produktiviti, pesatnya perkembangan industri, kecanggihan teknologi, dan banyaknya penciptaan alat-alat yang semakin memudah dan memakmurkan kehidupan.
Jelas, pandangan dan dasar yang dibuat oleh para pemimpin dan para perancang kebangkitan dari negara-negara yang belum bangkit - yang kebanyakannya negara-negara umat Islam - bahawa kebangkitan dapat dicapai dengan melahirkan ramai pakar dan sarjana, tidak menepati definisi kebangkitan yang sebenarnya.
Jumlah sarjana dan lulusan tinggi di sebahagian negara yang dikenal sebagai negara-negara Dunia Ketiga atau negara-negara membangun tidak kurang berbanding dengan yang terdapat di sesetengah negara maju. Akan tetapi, kebanyakan daripada mereka tersebar ke seluruh dunia, khususnya ke negera-negara maju. Bahkan, ramai di antara mereka yang melucutkan kewarganegaaraannya supaya dapat bermastautin di negara-negara maju tersebut.
Sebagai contoh adalah umat Islam dari Mesir, Pakistan, Jordan, Lebanon, Syria, dan Turki. Kebanyakan daripada putara-puteri mereka para sarjana, lulusan tinggi dan pakar di dalam berbagai-bagai bidang seperti doktor perubatan, ahli fizik, ahli teknik, pakar kimia, pakar nuklear dan teknologi. Mereka telah meninggalkan negara asal mereka dan menyebar ke seluruh dunia untuk mencari kehidupan yang tidak mereka dapati di negara asal mereka, sesuai dengan kepakaran dan kelulusan tinggi mereka.
Jika dikaji, perkara yang tidak sepatutnya berlaku di negara-negara sedang membangun ini - di mana para pakar dan tenaga mahir sangat diperlukan untuk membangunkan negara dan umat - banyak terjadi di kalangan negara-negara umat Islam. Tentulah ini merupakan suatu hal yang tidak masuk akal dan sangat membimbangkan. Tidak masuk akal kerana, kebanyakan daripada mereka rela melucutkan taraf kewarganegaraan negara asal untuk mendapatkan kerakyatan negara-negara bukan Islam seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Jerman, Argentina dan sebagainya, semata-mata demi kerjaya dan penghidupan. Juga tidak masuk apabila para peguasa negara-negara umat Islam yang berkenaan tidak melihat isu ini sebagai kerugian kepada Islam dan umat Islam apabila otak-otak super-baik dari kalangan umat Islam tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk kebangkitan semula tamadun emas Islam. Sangat membimbangkan kerana apa yang berlaku adalah, kekuatan pegangan Islam mereka, terutamanya di kalangan generasi kedua, kian mencair. Bahkan, tidak sedikit yang akhirnya menukar agama, khususnya kepada Kristian. Kecuali di kalangan yang bermastautin di dalam kominiti Muslim yang besar di mana cara hidup Islam masih dapat diamalkan dengan selesa, kebanyakannya hanya mengekalkan keIslaman mereka kerana keturunan semata-mata, bukan Islam sebagai agama yang dihayati dan diamalkan. Malah, tidak sedikit yang berasa lebih baik dan selamat untuk menyembuyikan identiti Islam mereka, khususnya selepas peristiwa 11 Sept itu.
Telah banyak ulasan berkaitan dengan hal ini. Banyak penulis dan para pemikir memberikan pandangan berkenaannya, termasuk di Malaysia sendiri. Wacana dengan tajuk-tajuk "Brain Drain" atau "Pengaliran Keluar Otak Bijak", "Hijrahnya Intelektual Islam ke Negara-Negera Maju Bukan Islam", "Barat Telah Membeli Cendekiawan Kita dengan Dunia" "Bawa Balik Para Pakar Islam Kita", dan judul-judul lain, kian bermunculan di kalangan para pemikir kebangkitan di negara-negara umat Islam sekarang ini. Bahkan, telah pun banyak dilakukan seminar dan forum di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa di kalangan negara-negara umat Islam untuk mencambah fikiran bagaimana membatasi dan mengatasi berlakunya kerugian-kerugian intelektual ini.
Sekali lagi jelas, penambahan intelektual dan para sarjana itu tidak dapat membangkitkan dan memajukan umat, selain memajukan diri per individu.
Walhal, jika dikaji, sebahagian besar daripada negara-negara tersebut mempunyai kekayaan sumber alam dan sumber manusia yang sangat melimpah ruah. Malah, dapat dibuktikan bahawa negera-negara tersebut adalah bahagian dunia yang terkaya, dengan limpahan pemberian Allah berupa petroleum [minyak dan gas], uranium, berlian, boksait, pelbagai garam galian, dan berbagai-bagai galian logam yang sangat diperlukan oleh dunia. Namun begitu, pada waktu yang sama, negara-negara ini sedang menderitai kemiskinan pada titik nadir yang sangat parah dan menanggung beban hutang yang menggunung, hingga sampai kepada keadaan: mereka berhutang untuk membayar hutang lama, dan tidak berupaya untuk membayar lagi sehingga mereka terpaksa meminta penjadualan semula pembayaran balik hutang. Negara-padat-umat-Islam, Indonesia, misalnya, belum lepas lehernya dari jerutan hutang IMF - pengendali sistem kewangan global kepunyaan Yahudi. Keadaan ini pasti akan terus berlangsung, malah telah pun lebih menjerut lagi akibat kemerostan ekonomi dunia.
Selain dari segi politik, sistem ekonomi kapitalis dukungan negara-negara maju, sedang digunakan untuk menggempur dan melumpuhkan negera-negara umat Islam dan agama Islam, serta segala yang berkaitan dengannya, dengan berselindung di sebalik slogan 'memerangi keganasan'. Tujuannya tidak lain; agar Islam dan umatnya TIDAK BANGKIT dan terus di dalam keadaan mundur. Malapetaka kemunduran ini akan menuju ke tahap krisis yang lebih parah lagi bagi umat Islam, jika para pemimpin dan para pemikir kebangkitan di kalangan umat Islam gagal mencari formula dan makna kebangkitan yang sebenar-benarnya.
Semua ini terjadi disebabkan oleh salah satu daripada tiga faktor yang berikut:
Pertama: Dapat terjadi disebabkan oleh ketidaktahuan para pemimpin umat Islam akan makna 'KEBANGKITAN' dan jalan untuk mencapai 'kebangkitan' tersebut. Akibatnya, mereka kebingungan di dalam menetapkan dasar-dasar [polisi] ketika menangani urusan/maslahat masyarakat, apakah menurut keyakinan akidah mereka [Islam] atau apakah yang dari Barat itu lebih baik. Faktanya, adalah kebanyakan daripada mereka masih simpang-siur tentang Islam Ideologis; dengan kata lain, belum jelas tentang fikrah dan kaedah Islamiyyah di dalam politik dan pemerintahan.
Kedua: Boleh terjadi kerana para pemimpin dan pemikir kebangkitan umat, secara tidak sedar atau telah tidak disedarkan [terbius oleh idea Barat dan mengkal Islamnya], telah menjadi agen-agen dan tangan-tangan bagi tuan-tuan pemusaka sistem sekular-kapitalis-demokrasi yang sedang berjalan di seluruh dunia sekarang; yang akibatnya melakukan pengkhianatan terhadap umat dan bangsa mereka sendiri, tanpa perlu tuan-tuan yang sangat membenci umat ini melakukan pengkhianatan tersebut dengan tangan mereka sendiri. Mereka [para pemimpin ini] bekerja untuk menjinakkan masyarakat dalam usaha untuk melestarikan negara-negara mereka terus subur untuk sistem warisan penjajah itu. Dengan demikian, mereka terus berkuasa dengan mendapat sanjungan dan pengiktirafan daripada tuan-tuan mereka, kerana para pemimpin umat Islam ini sedia menjadikan tanah air mereka sebagai seluas-luas pasar bagi dua produk utama tuan-tuan mereka: pemikiran, dan produk industri.
Ketiga: Dapat terjadi kerana kedua-dua faktor tersebut berjalan sekaligus, iaitu ketidaktahuan dan kecelaruan tentang erti kebangkian + terbius pada pemikiran sehingga menjadi agen kepada tuan-tuan Barat mereka.
Oleh kerana itu, bagi para pemimpin umat Islam khususnya, dan umat Islam umumnya, menjadi satu kewajipan untuk mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan 'KEBANGKITAN', dari difinisi Islam, bukan takrifnya berdasarkan kepada realiti yang sedang berlaku sekarang, iaitu kebangkitan mengikut acuan/falsafah Barat. Juga menjadi satu kemestian untuk menggali apakah asas-asas yang menjadi landasan bagi 'KEBANGKITAN' dan bagaimana cara untuk mecapainya.
No comments:
Post a Comment