Wednesday, November 25, 2009

1430H - AIDIL ADHA HARI PENYATUAN UMMAH


Assalaamu 'alaikum, saudara Muslim-Muslimat sekalian,

9 Zulhijjah 1430H : Hari Idul Adha/Raya Korban
Hari ini umat Islam di seluruh dunia sekali lagi menyambut Idul Adha. Pada hari yang agung ini, umat Islam menyerukan takbir, tahmid, tasbih dan tahlil, berduyun-duyun melaksanakan solat sunat Idul Adha dan mendengar khutbah. Kemudian, diteruskan dengan menyembelih haiwan korban dan membahagi-bahagikan dagingnya.

Pada waktu yang sama, di Tanah Haram, jutaan umat Islam dari seluruh penjuru dunia berkumpul menyahut panggilan Ilahi, bersama-sama menunaikan ibadah haji dengan segala turutan manasiqnya. Mereka berkumpul menjadi SATU; hilang sirna segala batas kebangsaan, warna kulit, pangkat, kedudukan dan aliran mazhab.

Realiti ini membuktikan bahawa sesungguhnya umat ini adalah UMAT YANG SATU - ummatan waahidah - umat yang diikat oleh akidah yang sama - akidah Islam; dan diatur oleh hukum yang sama - hukum Islam (syari'at); memiliki kitab yang sama - al-Quran; dan menghadap kiblat yang sama - Baitullah al-Haram. Namun, sangat memilukan, persatuan ini berlaku hanya sekadar sementara, ketika sama-sama mengerjakan ibadah haji. Di luar waktu itu, apabila masing-masing kembali ke tanah air masing-masing, keadaan umat Islam sangat menyedihkan. Pertikaian disambung kembali. Konflik diungkap lagi. Dendam dan berbencian mengemuka semula, sehingga berlaku perpecahan, bahkan pertumpahan darah sasama sendiri. Sungguh, inilah problem umat Islam yang paling menyayat hati, yang hingga sekarang belum dapat dirungkai. Ukhwah Islamiah yang diwajibkan ke atas mereka masih kekal pada tahap seruan dan cita-cita; belum lagi tergapai.

Mengapa keadaan yang sungguh memilu dan memalukan ini terjadi? Jawabnya: kerana UMAT ISLAM PADA WAKTU INI TIDAK LAGI HIDUP DI DALAM SATU KEPEMIMPINAN - INSTITUSI NEGARA. Walhal, selain disatukan oleh akidah, rasul, kitab dan kiblat yang sama, umat Islam juga diwajibkan agar hidup di dalam satu kepemimpinan dan satu institusi - DAULAH KHILAFAH. Inilah institusi negara yang memerintah dengan syari'at; institusi yang menjadi satu wadah bagi seluruh umat Islam sedunia.

Sesungguhnya, masalah kesatuan umat Islam di dalam kepemimpinan dan institusi bernegara pada waktu ini adalah penyebab utama perpecahan umat, sekaligus merupakan musibah paling besar. Perkara persatuan ini begitu penting sehingga ditetapkan sebagai salah satu al-qadiyyah al-mashiriyyah (perkara utama) bagi umat ini; iaitu perkara yang menjadi pertaruhan hidup dan mati. Sesiapa pun yang berani memecah-belah kesatuan umat Islam di dalam kepemimpinan ini wajib dikenakan setegas-tegas tindakan - hukuman mati. Rasulullah saw bersabda yang maksudnya:

Sesiapa sahaja yang datang kepada kamu sekalian, sedangkan urusan kamu sekalian berada di tangan seseorang (Khalifah), kemudian dia hendak memecah-belah kesatuan dan jemaah kamu sekalian, maka bunuh dia. (Hadith riwayat Muslim)

Hadith ini sangat jelas menunjukkan wajibnaya umat Islam berada di dalam satu kepemimpinan. Ketika mereka berada di dalam satu jemaah - jamaatul Muslimin - di bawah kepemimpinan seorang Khalifah, lalu ada orang lain yang datang untuk memecah persatuan dan jemaah mereka, maka wajib orang itu dijatuhi hukuman mati.

Kita semua telah menyaksikan (bahkan sedang merasai) betapa sengsara, hina dan lemahnya umat Islam apabila tidak hidup di dalam satu kepemimpinan Khalifah. Kini umat Islam terpecah-belah di dalam puluhan entiti negara-bangsa yang kerdil-keedil. Umat Islam yang dulu pernah disegani, ditakuti dan dihormati, kini bertukar menjadi umat yang lemah, mundar dan kecil di depan musuh-musuh mereka, iaitu kaum kufar. Keadaan ini diperparahkan lagi oleh sikap rejim di negeri-negeri umat Islam yang antipati, tidak peduli terhadap Islam dan umatnya. Akibatnya, sekalipun kaum kafir telah menunjukkan dengan sejelas-jelasnya permusuhan mereka terhadap Islam dan umatnya, menyiat-nyiat muka umat Islam dengan menumpahkan darah mereka, mengaut harta kekayaan mereka dan memijak-mijak kehormatan mereka, para penguasa rejim-rejim ini diam, tidak berasa terusik. Bahkan, ketika Rasulullah saw diperlekeh di dalam gambar kartun, al-Quran dihina dan musyafnya dihumban ke dalam lubang tandas di penjara Guantanamo, Islam dicerca sebagai agama teroris, dan Masjid al-Aqsha dikangkangi, dibakar dan hendak diroboh oleh Kafir Yahudi Israel, para pemerintah umat Islam itu pun tidak menguit walau sedikit. Keadaan umat Islam kini benar-benar menepati telahan yang sangat dikhuatiri oleh Rasulullah saw; bak buih, banyak memenuhi muka air, tapi hanyut diombang-ambing oleh arus dan gelombang. Sungguh amat memilukan!

Setiap kali datangnya Idul Adha, ingatan kita sentiasa diulang putar oleh para khatib dan para penceramah kepada kisah tentang ketaatan, ketundukan dan pengorbanan Nabi Ibrahim as dan puteranya Ismail as dalam menjalankan perintah Allah Swt. Ketika Nabi Ibrahim as diperintahkan untuk menyembelih puteranya itu, kedua-duanya segera bergegas melaksanakan perinah Allah. Tak kelihatan sama sekali keraguan, keengganan, jauh sekali penolakan. Kedua-duanya dengan ikhlas dan patuh menunaikan perintah Allah Swt, meski mengorbankan sesuatu yang paling berharga dan dicintai. Ibrahim as rela kehilangan puteranya, dan Ismail as pun tidak berasa keberatan kehilangan nyawanya.

Sesungguhnya ketaatan dan pengorbanan telah menjadi pekerti sejati para kekasih Allah. Di sepanjang sirah menyebar-lusakan risalah Islam, qudwatuna wa uswatuna Rasulullah saw telah mempertaruhkan segala yang baginda saw miliki. Sekalipun mendapat pelbagai bentuk penentangan dan perlawanan, sama sekali tidak membuat baginda mundur. Bahkan, baginda bersumpah tidak sekali-kali akan berhenti berjuang sehingg Islam dimenangkan atau baginda saw sendiri binasa kerananya.

Ketaatan dan pengorbanan juga ditunjukkan oleh para sahabat. Lihatlah peristiwa ketaatan yang ditunjukkan oleh generasi awal umat yang terbaik itu. Antaranya Muhaishah, sahabat Rasulullah saw yang mentaati perintah baginda saw untuk membunuh seorang Yahudi kafir di dalam satu peperangan. Yahudi yang dibunuhnya itu adalah seorang pedagang yang selalu memberinya makanan dan pakaian. Saudara Muhaishah, iaitu Hawaishah, yang belum memeluk Islam, marah kepadanya sambil memukul dan mengherdiknya, "Apakah kamu membunuhnya? Dami Allah, makanan di dalam perutmu itu berasal dari hartanya". Muhaishah menjawab, "Demi Allah, sekiranya orang yang memerintahkan aku untuk membunuhmu, pasti aku penggal lehermu". Hawaisha bertanya lagi penuh kehairanan, "Demi Allah, kalau Muhammad memerintahkan kamu membunuhku, kamu akan membunuhku?". Jawab Muhaishah, "Benar". Padahal mereka abang-adik. Allahu Akbar! Inilah menifastasi ketaatan generasi emas para sahabat Rasulullah saw.

Bercerminkan pada ketaatan mereka itu, kita sepatutnya bertanya kepada diri kita: Sudahkan kita memiliki ketaatan total kepada Allah dan Rasul-Nya? Tunduk dan patuh pada setiap perintah dan larangan-Nya? Atau sebaliknya, kita hanya mahu tunduk kepada sebahagian, namun menolak sebahagian yang lain?

Ketika diperintahkan solat atau haji, kita segara mengerjakannya. Ketika diharamkan berzina, mencuri atau makan babi, kita pun tidak keberatan meninggalkannya. Semua ketetapan itu kita terima, tanpa sedikitpun mempersoal mengapa itu semua diwajibkan atau diharamkan. Apabila ditetapkan solat maghrib tiga raka'at atau subuh dua rakaat, kita tidak mempersoalkannya mengapa mesti tiga dan dua. Kita kerjakan penuh taat. Namun, ketika diperintahkan Allah Swt untuk melaksanakan syari'at-Nya di dalam bidang pemerintahan dan bernegara, politik, ekonomi, undang-undang/penghukuman, diplomatik, pendidikan dan sebagainya, mengapa ada dia antara kita - bahkan banyak daripada kita - masih mempersoal, malah menghujah dengan berbagai-bagai helah dan dalih, berasa keberatan, bahkan menyatakan penolakan (dengan lisan dan perbuatan) terhadapnya? Mengapa terjadi begitu? Bukankah akidah yang kita yakini menuntut kita agar memiliki ketundukan dan ketaatan total kepada suruhan syari'at-Nya?
Sukar dipecayai jika umat Islam tidak tahu bahawa beriman kepada sebahagian dan ingkar kepada sebahagian lainnya dapat membawa kepada kekufuran; menempa kehinaan di dunia, di di akhirat pula menanti siksaan yang amat dahsyat pedihnya. Firman Allah bermaksud:
".... adakah kamu hanya beriman kepada sebahagian (daripada) kitab dan mengingkari sebahagian yang lain. Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian, melainkan kehinaan ketika hidup di dunia dan pada hari akhirat (kiamat) mereka akan dihumban ke dalam azab yang amat berat dan Allah sekali-kali tidak lalai akan apa yang kamu lakukan". (TQS al-Baqarah, ayat 85)
Sekalipun ayat tersebut ditujukan khusus kepada Bani Israel, namun bukankah ia juga merupakan peringatan dan ancaman keras kepada umat-umat lain yang berperangai seperti mereka? Juga firman Allah di dalam Surah an-Nisa', ayat 151, yang mafhumnya:
"Mereka itulah orang yang kafir dengan sebenar-benarnya; dan Kami telah menyediakan bagi orang kafir itu azab yang menghina (azab neraka)". (TQS an-Nisa', ayat 151)
Apakah kita juga tidak sedar dengan kalimah tauhid - la ilaha illa-Lah - yang kita ucapkan berulang-ulang itu ada tuntutan daripadanya? Ketahuilah bahawa kalimah tauhid itu bukan sahaja berisi pengakuan tentang Allah Swt semata-mata, namun di dalamnya terkandung ikrar bahawa Allah Swt adalah satu-satunya Ilah yang haq. Dialah satu-satunya zat yang berhak disembah, diibadahi, dan ditaati. Natijah daripada kalimah itu kita wajib tunduk dan patuh terhadap seluruh hukum-Nya. Respons seseorang Muslim daripada kalimah tauhid yang diucapkannya itu hanya sami'na wa atha'na; AKU DENGAR (FAHAM) DAN AKU TAAT, tanpa mencari-cari dalih dan helah lagi. Firman Allah Swt di dalam Surah an-Nuur, ayat 51, yang bermaksud:
"Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah dan sunah Rasul-Nya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu antara mereka, meraka hanya berkata "Kami dengar dan kami taat", dan mereka itulah orang yang beriman" ( TQS an-Nuur, ayat 51)
Namun, bukan begitu sikap kebanyakan penguasa negeri-negeri umat Islam di dalam mentaati perintah untuk melaksanakan syari'at-Nya di dalam pemerintahan. Bagi umat Islam umumnya, sejauh mana ketaatan kita di dalam hal yang sama? Adakah kita telah bersungguh-sungguh berusaha memuhasabah para pemimpin yang menolak syari'at di dalam tanggungjawab mengurus kehidupan kita? Atau, bahkan sebaliknya kita masih berasa berat dan enggan melakukannya? Jangankan nyawa, berkorban dengan sedikit tenaga, fikiran, harta dan waktu sahaja, masih terasa sebagai memikul beban yang amat berat. Mengapa boleh terjadi begini? Bukankah kita dituntut untuk meletakkan ketaatan kepada-Nya, rasul-Nya dan jihad di atas jalan-Nya melebihi segala-galanya? Firman Allah yang bermaksud:
'Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri kamu (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang yang fasiq (derhaka)" (TQS at-Taubah, ayat 24)
Antara kaedah memupuk jiwa mudah berkorban adalah dengan memperkukuh keimanan kepada hari akhirat; paling tidak mengingat bahawa kita pasti mati pada bila-bila masa sahaja yang saatnya tidak kita ketahui. Mengingat juga bahawa pengorbanan yang kita sumbangkan di dunia amat jauh kekerdilannya berbanding dengan balasan yang bakal dituai di sana kelak; syurga dengan berbagai-bagai kenikmatan yang tidak dapat tergambarkan oleh panca indera sekarang. Sebaliknya, bersenang-senang meringan-rengankan dan mengabaikan perintah Allah Swt dan Rasul-Nya hanya menjerumuskan pelakunya kepada siksa neraka yang pedih dan ngerinya juga tidak tergambarkan oleh panca indera sekarang.
Keyakinan inilah yang mampu menjadikan kaum Muhajirin berasa sangat ringan melangkahkan kaki meninggalkan harta benda dan keluarga yang dicintai untuk berhijrah ke Madinah. Keyakinan inilah juga yang mendorong kaum Ansar bersedia menyerahkan kekuasaannya kepada Rasulullah saw dan menerima saudara mereka daripada kaum Muhajirin dengan rasa cinta sayang tidak terbanding. Juga kerana keyakinan ini, umat Muslim bersemangat melakukan futuhat (membuka negeri-negeri kufur ke dalam pelukan Islam) sehingga wilayah kekuasaan Islam terbentang seluas 2/3 dunia di dalam waktu yang sangat pantas.
Telah lapan puluh lima tahun umat Islam hidup tanpa Daulah Khilafah juga tanpa seorang Khalifah yang mengatur urusan kehidupan mereka dengan syari'at. Padahal, umat Islam hanya diberi tempoh selama tiga hari hidup tanpa Khalifah. Ini bererti, kewajipan melantik Khalifah telah juga melepasi batas waktu yang dibenarkan oleh syarak. Keadaan ini sewajarnya telah menggerakkan semangat kita untuk memperjuangkan tegaknya Daulah Khilafah. Alangkah besar dasa yang kita tanggung kerana mengabaikan tugas yang paling utama ini.
Oleh yang demikian, sekaranglah waktunya kita jaga dari tidur yang panjang. Tampil ke syaf depan membawa panji-panji Islam sebagaimana kita merebutkan tempat di syaf pertama ketika solat. Berjuang dengan segenap daya upaya dan kemampuan menggapai kemenangan yang dijanjikan Allah Swt bagi orang-orang yang menolong agama-Nya. Melangkahkan jiwa dan dan raga mengikut jejak langkah Rasul-Nya menzahirkan "Islam itu paling tinggi, dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya"
Hari ini, hari ketika kita disunatkan menyembelih binatang korban, sewajarnya menjadi ibroh (tamsil/pengajaran) di dalam memberikan pengorbanan kita, agar tidak hanya terhenti pada penyembelihan kambing, lembu dan unta, tetapi lebih daripada itu berkorban bagi menggerakkan satu pengorbanan paling utama yang telah selama lapan puluh lima tahun belum kita gerakkan, iaitu berkorban ke arah membai'ah seorang Khalifah untuk memerintah kita seluruh umat Islam sedunia di dalam sebuah Daulah Khilafah dengan satu hukum yang sama - hukum syarak (syari'at) - semata-semata. Janganlah disia-siakan kesempatan emas ini kerana Allah Swt melebihkan darjat orang yang berjuang sebelum tegaknya Daulah Khilafah. Firman Allah di dalam Surah al-Hadid, ayat 10, yang mafhumnya:
" Dan mengapa kamu tidak menafkan harta benda kamu pada jalan Allah? Padahal Allah jualah yang mewarisi langit dan bumi (serta segala isinya). Tidaklah sama orang-orang yang menafkahkan haratnya serta turut berperang sebelum kemenangan (Nabi menguasai Mekah). Mereka itu lebih besar darjatnya daripada orang yang menafkahkan hartanya serata turut berperang sesudah itu. Dan setiap golongan daripada kedua-duanya, Allah janjikan (balasan) yang sebaik-baiknya. (Ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya akan apa yang kamu kerjakan". (TQS al-Hadid, ayat 10)
Akhirnya, setelah kita menetapkan hati untuk memulakan langkah bersama-sama syaf para pejuang menuju pembentukan Khilafah, marilah kita berdoa semoga Allah memberi kita kesabaran, kekuatan dan kesatuan, serta menjadikan diri setiap kita berperanan penting di dalam usaha mewujudkan kembali Daulah Khilafah.
Sumber: HTI










1 comment:

  1. assalamualaikum wbt,

    Semakin maju cikgu, dah berblog.
    Didoakan semoga istiqamah dan sentiasa dalam redha Ilahi.

    khairi@ wuzara,
    http://jemaah-islam.blosgpot.com

    ReplyDelete