Wednesday, December 2, 2009

ERTI KEBANGKITAN [l]

YANG sering tergambar di benak kita, apabila disebut KABANGKITAN [an-nadhdhah], secara otomatik kita hubungkaitkannya dengan hal-hal seperti; kemajuan di dalam pelbagai bidang keilmuan, peningkatan produktiviti, pesatnya perkembangan industri, kecanggihan teknologi, dan banyaknya penciptaan alat-alat yang semakin memudah dan memakmurkan kehidupan.

Hal ini terjadi kerana adanya anggapan bahawa kebangkitan bererti kemajuan, iaitu mobiliti atau perpindahan manusia dari suatu peringkat keadaan menuju kepada suatu peringkat yang lebih baik. Oleh yang demikian, ramai dari kalangan kita mempunyai anggapan bahawa setiap negara atau negeri yang hidup dengan keadaan ekonomi yang teguh dan mantap adalah negara atau negeri yang bangkit dan kehidupan warga rakyatnya tentu makmur. Benarkah begitu?

Pernyataan atau anggapan yang sedemikian telah terbantah apabila bukti menunjukkan bahawa di sebahagian besar negara yang memiliki tahap kemakmuran yang tinggi dari segi ekonomi, memiliki pra-sarana kehidupann yang serba lengkap - bahkan ada yang telah mencapai tahap ultra-moden - keadaan sebenar kehidupan di negara-negara tersebut sangat buruk, kacau-bilau, bahkan mundur.

Oleh kerana itu, kita perlu mempunyai definisi kebangkitan dengan batasan maknanya yang sebenar, serta mengetahui tatacara atau kaedah untuk mencapainya. Selain itu, perlu dinilai semula apakah benar sebagaimana yang difahami secara umum, bahawa kebangkitan ditandai dengan semakin tingginya tahap pendidikan, membesarnya volume kekayaan, dan tahap kesihatan juga semakin baik? Jika begitu, jalan keluar dari keadaan yang 'tidak bangkit' atau 'kemunduran' itu tentulah dengan menghilangkan segala faktor yang dianggap sebagai penyebab kemunduran, iaitu dengan membasmi kemiskinan, meningkatkan pendidikan dan memebantras penyakit. Dan inilah yang sering dijadikan tuntunan berfikir oleh para pemimpin negara-negara dan para pemikir kebangkitan.

Begitu juga, dengan banyaknya sekolah dan institusi pendidikan tinggi, bertambahnya sarjana dan lulusan pakar di dalam semua bidang seperti undang-undang, kedoktoran & perubatan, kejuruteraan dan sebagainya, apakah itu merupakan tanda bagi kebangkitan, atau hanya merupakan proses menuju kebangkitan?

Sesungguhnya, realiti dan fakta menunjukkan bahawa sebahagian daripada negara-negara mundur terus tidak berupaya untuk bangkit, bahkan tidak dapat melakukan apa-apa, sekalipun di negara-negara tersebut terdapat banyak sarjana dan para lulusan tinggi. Sebaliknya, mereka ini tidak berguna dan tidak dapat dipergunakan, selain menjadi beban kepada negara kerana tidak dapat disalurkan ke bidang-bidang yang secocok dengan kepakaran mereka bagi membangkitkan negara dan umat. Jika mampupun, mereka diperkerjakan sebagai golongan tidak mahir, dengan bayaran upah yang sangat rendah, sekaligus, secara relatif, telah membantutkan kebangkitan individu itu sendiri berbanding yang sekelayakan dengan mereka di negara-negara maju.

Perbandingan secara rawak antara negara-negara tertentu dapat membuktikan fakta ini. Indonesia, misalnya, negara majoriti penduduk Islam terpadat di dunia, telah melahirkan beratus-ratus ribu, bahkan jutaan, sarjana di dalam segala bidang, jauh mengatasi jumlah yang terdapat di negara kecil Belanda - negara-bangsa yang menjajahnya dulu . Namun, sukar digambarkan tahap kemakmuran yang dinikmati Belanda sekarang di Indonesia. Benua kecil India, yang jumlah lulusan tinggi dan pakarnya barangkali sama banyak dengan seluruh penduduk Jepun, namun belum apa-apa kemakmurannya berbanding kemakmuran yang telah dicipta oleh Jepun. Malah, komuniti orang antara yang termundur dan termiskin di dunia wujud di sana. Mesir, negara dianggap termaju di sekitar Timur Tengah, yang paling ramai melahirkan cendekiawan, pakar dan ilmuan, bukan sahaja tidak dapat bangkit di depan muka Israel, bahkan tidak berupaya pun untuk memutuskan tali hayat yang menghubungkan Isreal dengan bapanya, Amerika Syarikat, yang menghidupkan daerah kecil hasil rompakan itu.

Keadaan ini akhirnya menjadi antara faktor yang memaksa para pakar dan sarjana dari negara-negara tersebut keluar meninggalkan daerah dan negara asal mereka untuk mencari pekerjaan dan penghidupan di tempat lain. Ini juga yang memaksa negara mereka menulis semula dasar pendidikan untuk tujuan membatasi jumlah pakar dan sarjana di dalam bidang-bidang yang terpilih sahaja, selain melakukan saringan yang sangat selektif di dalam penerimaan mahasiswa baru ke pusat-pusat pengajian tinggi. Usaha ini dilakukan supaya dapat memberi peluang sepenuhnya kepada para sarjana yang tersebar di seluruh negara mendapatkan pekerjaan atau berkerjaya sendiri sehingga dapat memberikan kesejahteraan hidup bagi mereka. Pada akhirnya, segala perancangan dasar pendidikan yang bermatlatkan memakmurkan negara dan umat, hanya berjaya memakmurkan segelintir para pakar dan sarjana per individu tertentu sahaja.

Jelas, pandangan dan dasar yang dibuat oleh para pemimpin dan para perancang kebangkitan dari negara-negara yang belum bangkit - yang kebanyakannya negara-negara umat Islam - bahawa kebangkitan dapat dicapai dengan melahirkan ramai pakar dan sarjana, tidak menepati definisi kebangkitan yang sebenarnya.

Jumlah sarjana dan lulusan tinggi di sebahagian negara yang dikenal sebagai negara-negara Dunia Ketiga atau negara-negara membangun tidak kurang berbanding dengan yang terdapat di sesetengah negara maju. Akan tetapi, kebanyakan daripada mereka tersebar ke seluruh dunia, khususnya ke negera-negara maju. Bahkan, ramai di antara mereka yang melucutkan kewarganegaaraannya supaya dapat bermastautin di negara-negara maju tersebut.

Sebagai contoh adalah umat Islam dari Mesir, Pakistan, Jordan, Lebanon, Syria, dan Turki. Kebanyakan daripada putara-puteri mereka para sarjana, lulusan tinggi dan pakar di dalam berbagai-bagai bidang seperti doktor perubatan, ahli fizik, ahli teknik, pakar kimia, pakar nuklear dan teknologi. Mereka telah meninggalkan negara asal mereka dan menyebar ke seluruh dunia untuk mencari kehidupan yang tidak mereka dapati di negara asal mereka, sesuai dengan kepakaran dan kelulusan tinggi mereka.

Jika dikaji, perkara yang tidak sepatutnya berlaku di negara-negara sedang membangun ini - di mana para pakar dan tenaga mahir sangat diperlukan untuk membangunkan negara dan umat - banyak terjadi di kalangan negara-negara umat Islam. Tentulah ini merupakan suatu hal yang tidak masuk akal dan sangat membimbangkan. Tidak masuk akal kerana, kebanyakan daripada mereka rela melucutkan taraf kewarganegaraan negara asal untuk mendapatkan kerakyatan negara-negara bukan Islam seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Jerman, Argentina dan sebagainya, semata-mata demi kerjaya dan penghidupan. Juga tidak masuk apabila para peguasa negara-negara umat Islam yang berkenaan tidak melihat isu ini sebagai kerugian kepada Islam dan umat Islam apabila otak-otak super-baik dari kalangan umat Islam tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk kebangkitan semula tamadun emas Islam. Sangat membimbangkan kerana apa yang berlaku adalah, kekuatan pegangan Islam mereka, terutamanya di kalangan generasi kedua, kian mencair. Bahkan, tidak sedikit yang akhirnya menukar agama, khususnya kepada Kristian. Kecuali di kalangan yang bermastautin di dalam kominiti Muslim yang besar di mana cara hidup Islam masih dapat diamalkan dengan selesa, kebanyakannya hanya mengekalkan keIslaman mereka kerana keturunan semata-mata, bukan Islam sebagai agama yang dihayati dan diamalkan. Malah, tidak sedikit yang berasa lebih baik dan selamat untuk menyembuyikan identiti Islam mereka, khususnya selepas peristiwa 11 Sept itu.

Telah banyak ulasan berkaitan dengan hal ini. Banyak penulis dan para pemikir memberikan pandangan berkenaannya, termasuk di Malaysia sendiri. Wacana dengan tajuk-tajuk "Brain Drain" atau "Pengaliran Keluar Otak Bijak", "Hijrahnya Intelektual Islam ke Negara-Negera Maju Bukan Islam", "Barat Telah Membeli Cendekiawan Kita dengan Dunia" "Bawa Balik Para Pakar Islam Kita", dan judul-judul lain, kian bermunculan di kalangan para pemikir kebangkitan di negara-negara umat Islam sekarang ini. Bahkan, telah pun banyak dilakukan seminar dan forum di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa di kalangan negara-negara umat Islam untuk mencambah fikiran bagaimana membatasi dan mengatasi berlakunya kerugian-kerugian intelektual ini.

Sekali lagi jelas, penambahan intelektual dan para sarjana itu tidak dapat membangkitkan dan memajukan umat, selain memajukan diri per individu.

Walhal, jika dikaji, sebahagian besar daripada negara-negara tersebut mempunyai kekayaan sumber alam dan sumber manusia yang sangat melimpah ruah. Malah, dapat dibuktikan bahawa negera-negara tersebut adalah bahagian dunia yang terkaya, dengan limpahan pemberian Allah berupa petroleum [minyak dan gas], uranium, berlian, boksait, pelbagai garam galian, dan berbagai-bagai galian logam yang sangat diperlukan oleh dunia. Namun begitu, pada waktu yang sama, negara-negara ini sedang menderitai kemiskinan pada titik nadir yang sangat parah dan menanggung beban hutang yang menggunung, hingga sampai kepada keadaan: mereka berhutang untuk membayar hutang lama, dan tidak berupaya untuk membayar lagi sehingga mereka terpaksa meminta penjadualan semula pembayaran balik hutang. Negara-padat-umat-Islam, Indonesia, misalnya, belum lepas lehernya dari jerutan hutang IMF - pengendali sistem kewangan global kepunyaan Yahudi. Keadaan ini pasti akan terus berlangsung, malah telah pun lebih menjerut lagi akibat kemerostan ekonomi dunia.

Selain dari segi politik, sistem ekonomi kapitalis dukungan negara-negara maju, sedang digunakan untuk menggempur dan melumpuhkan negera-negara umat Islam dan agama Islam, serta segala yang berkaitan dengannya, dengan berselindung di sebalik slogan 'memerangi keganasan'. Tujuannya tidak lain; agar Islam dan umatnya TIDAK BANGKIT dan terus di dalam keadaan mundur. Malapetaka kemunduran ini akan menuju ke tahap krisis yang lebih parah lagi bagi umat Islam, jika para pemimpin dan para pemikir kebangkitan di kalangan umat Islam gagal mencari formula dan makna kebangkitan yang sebenar-benarnya.

Semua ini terjadi disebabkan oleh salah satu daripada tiga faktor yang berikut:

Pertama: Dapat terjadi disebabkan oleh ketidaktahuan para pemimpin umat Islam akan makna 'KEBANGKITAN' dan jalan untuk mencapai 'kebangkitan' tersebut. Akibatnya, mereka kebingungan di dalam menetapkan dasar-dasar [polisi] ketika menangani urusan/maslahat masyarakat, apakah menurut keyakinan akidah mereka [Islam] atau apakah yang dari Barat itu lebih baik. Faktanya, adalah kebanyakan daripada mereka masih simpang-siur tentang Islam Ideologis; dengan kata lain, belum jelas tentang fikrah dan kaedah Islamiyyah di dalam politik dan pemerintahan.

Kedua: Boleh terjadi kerana para pemimpin dan pemikir kebangkitan umat, secara tidak sedar atau telah tidak disedarkan [terbius oleh idea Barat dan mengkal Islamnya], telah menjadi agen-agen dan tangan-tangan bagi tuan-tuan pemusaka sistem sekular-kapitalis-demokrasi yang sedang berjalan di seluruh dunia sekarang; yang akibatnya melakukan pengkhianatan terhadap umat dan bangsa mereka sendiri, tanpa perlu tuan-tuan yang sangat membenci umat ini melakukan pengkhianatan tersebut dengan tangan mereka sendiri. Mereka [para pemimpin ini] bekerja untuk menjinakkan masyarakat dalam usaha untuk melestarikan negara-negara mereka terus subur untuk sistem warisan penjajah itu. Dengan demikian, mereka terus berkuasa dengan mendapat sanjungan dan pengiktirafan daripada tuan-tuan mereka, kerana para pemimpin umat Islam ini sedia menjadikan tanah air mereka sebagai seluas-luas pasar bagi dua produk utama tuan-tuan mereka: pemikiran, dan produk industri.

Ketiga: Dapat terjadi kerana kedua-dua faktor tersebut berjalan sekaligus, iaitu ketidaktahuan dan kecelaruan tentang erti kebangkian + terbius pada pemikiran sehingga menjadi agen kepada tuan-tuan Barat mereka.

Oleh kerana itu, bagi para pemimpin umat Islam khususnya, dan umat Islam umumnya, menjadi satu kewajipan untuk mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan 'KEBANGKITAN', dari difinisi Islam, bukan takrifnya berdasarkan kepada realiti yang sedang berlaku sekarang, iaitu kebangkitan mengikut acuan/falsafah Barat. Juga menjadi satu kemestian untuk menggali apakah asas-asas yang menjadi landasan bagi 'KEBANGKITAN' dan bagaimana cara untuk mecapainya.

No comments:

Post a Comment