Thursday, December 3, 2009

INDOKTRINASI YANG MENYIMPANG WAJIB DIPERBETULKAN


Tiba-tiba sahaja salah satu senjata perang saraf kerajaan, Biro Tatanegara (BTN), muncul menjadi topik berdebatan. Ini berikutan arahan pengharaman BTN oleh kerajaan negeri Selangor ke atas semua kakitangan awam dan pelajar pengajian tinggi di negeri itu, seperti diumumkan oleh Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali, pada 25 November 2009 lalu, atas dakwaan bahawa BTN telah dijadikan alat indoktrinasi kerajaan untuk menanam sentimen perkauman dan memecahbelahkan rakyat, termasuklah membenci pembangkang. Lim Kit Siang pula menggesa kerajaan agar menutup terus BTN.

Pelbagai reaksi muncul dari beberapa pemimpin UMNO yang rata-rata menghentam pembangkang sehingga ada yang menyifatkan pembangkang sebagai pengecut kerana takut dengan BTN. Ada pula yang mendakwa bahawa pembangkang sengaja memperbesarkan isu ini untuk menutup masalah dalaman mereka yang semakin parah.

Dalam pada itu, beberapa bekas pemimpin kerajaan yang kini berpihak kepada pembangkang tampil untuk mendedahkan agenda perkauman di sebalik kursus-kursus yang dianjurkan oleh BTN. Ketika segelintir pemimpin UMNO cuba mempertahankan BTN habis-habisan agar dikekalkan modul yang sedia ada, jelas terdapat percanggahan pendapat sesama mereka apabila sesetengah yang lain bersetuju modul indoktrinasi BTN perlu diubah. Nazri Aziz tampil mengumumkan bahawa kurikulum BTN akan diubah agar lebih mendekati matlamat 1 Malaysia dan mesra kepada semua kaum [UM 01/12/09].

Sebenarnya, beberapa menteri, termasuk Perdana Menteri sendiri sudah tidak senang duduk dengan perdebatan ini. Siapa tidak tahu tentang peranan propaganda UMNO menerusi BTN, terutamanya di kalangan mereka yang telah pernah mengikuti kursus-kursus anjurannya? Selama ini kerajaan berjaya menutup niat tersiratnya melalui BTN, bukan kerana tidak ada pihak yang bersuara, namun suara mereka tidaklah sebesar suara kerajaan negeri Selangor. Kini, sekalipun rahsia BTN telah terdedah, namun masih tetap ada pihak yang bertegas cuba menutup-nutupi bauan hanyir yang mula meruap keluar dari peti besi BTN dan mahu mempertahankannya.

Biro Tatanegara adalah sebuah agensi kerajaan yang ditugaskan untuk melaksanakan Program Bina Negara yang melibatkan penganjuran kursus, seminar, dan aktiviti yang bercirikan latihan perubahan sikap. Antara objektif utama program anjuran BTN adalah pemupukan patriotisme ke atas semua lapisan mesyarakat, termasuk anggota komuniti institusi pendidikan, belia, penjawat awam dan swasta, anggota pertubuhan, serta pemimpin dan pemaju masyarakat. Dengan cogankata, "Bersama Mencipta Kegemilangan', visi utamanya adalah untuk melahirkan organisasi awam yang unggul di dalam memupuk semangat patriotisme serta menjadikan rakyat setia kepada kerajaan [www.btn.gov.my].

Antara kandungan kursusnya adalah ketatanegaraan, ketaatan kepada pemimpin dan kedaulatan undang-undang. Lagu warisan yang lebih dikenali dengan 'lagu anak kecil bermain api', sudah tidak asing lagi, sentiasa dikumandangkan di dalam hampir semua programnya. Kursus BTN ini juga sering menaikkan sentimen Melayu dan mendedahkan ancaman [terhadap bangsa Melayu], lalu merayu orang-orang Melayu memberi ketaatan penuh kepada pemimpin, tanpa syarat dan tanpa kecuali, agar tanah air tidak tergadai, dan ketuanan Melayu tidak tercabar.

BTN turut diguna untuk menjelas dan mempertahankan dasar-dasar kerajaan. Program ini disokong dengan pelbagai maklumat yang dilihat relevan dengan tujuan tersebut. Semua dasar yang dilihat merugikan orang Melayu 'diolah' dan dikatakan mempunyai maksud yang tertentu supaya dilihat apa yang kerajaan lakukan kelihatan seperti demi kepentingan seluruh rakyat. Pendek kata, di dalam BTN, semua peserta akan dijelaskan bahawa semua dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah betul dan benar belaka. Maka kerana itu, semuanya mesti taat dan patuh, sedia ikut mendukung, jangan mengkritik dan tidak usah melawan! Itulah matlamat akhir Program Bina Negara kendalian BTN.

Haram Taat Di Dalam Maksiat

Taat kepada penguasa Muslim adalah wajib, berdasarkan nash yang jelas. Namun demikian, perlu diperhalusi [juga dengan berlandaskan nash] pemimpin yang bagaimanakah yang wajib ditaati. Ini kerana, Islam tidak pernah mengajar untuk taat kepada pemimpin dengan semberono membabi buta sebagaimana 'ajaran' di dalam BTN. Sebaliknya, Islam meletakkan syarat, iaitu: ketaatan diberikan kepada pemimpin selama mana pemimpin tersebut taat kepada Allah SWT dan Rasul SAW, tidak memerintah untuk melakukan kemaksiatan, dan tidak menampakkan kekufuran yang nyata.

Sekiranya pemimpin tidak memerintah dengan berlandaskan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya, maka 'tidak ada dengar, dan tidak ada taat' untuknya, iaitu kebalikan bagi mafhum ayat tentang ketaatan mengikut syarak; 'sami'na wa atha'na' - ['kami dengar dan kami taat']. Ini dalil atau nash bagi umat Islam tentang syarat memberi kepatuhan dan ketaatan, termasuk kepada para pemimpin. Oleh itu, kewajipan taat kepada seseorang pemimpin itu telah dikecualikan oleh satu keadaan, iaitu: apabila dia memerintah dengan kemaksiatan, yakni tidak berlandaskan hukum-hukum syarak [syari'at].

Apabila seseorang penguasa memerintah kepada/dengan kemaksiatan, tidak boleh [haram] untuk mentaatinya di dalam hal kemaksiatan tersebut. Ini kerana, nash telah mengecualikan hal tersebut sebagaimana hadith dari Nafi' dari Ibnu Umar dari Nabi SAW, baginda bersabda [maksudnya], "Mendengar dan mentaati seorang Muslim [tetap wajib] sama ada di dalam hal yang disukai atau dibenci, selagi tidak diperintahkan berbuat maksiat. Apabila dia berbuat maksiat, maka tidak boleh mendengar dan tidak boleh mentaatinya". Maksudnya, apabila seseorang itu menyuruh kalian melakukan kemaksiatan, maka tidak lagi ada ketaatan terhadapnya, baik dia seorang pemimpin atau ibu bapa kalian sekalipun. Sabda Rasulullah SAW [maksudnya], "Tidak ada [kewajipan] taat kepada makhluk di dalam hal berbuat maksiat kepada al-Khaliq" [Hadith riwayat Muslim]

Inilah satu-satunya keadaan yang dikecualikan dari ketaatan kepada seseorang manusia [termasuk kepada pemimpin], iaitu di dalam perkara memaksiati Allah SWT. Justeru, sebagai Muslim, standard atau kayu ukur yang wajib kita gunakan di dalam menilai program BTN adalah: sama ada prorgam tersebut mengandungi perkara-perkara maksiat atau yang membawa kepada maksiat, atau sebaliknya.

Dari pengakuan dan penjelasan yang diberikan oleh kerajaan sendiri, apatah lagi oleh mereka yang pernah mengikuti program ini, program ini jelas menjurus kepada maksiat. Mengapa? Sebab program BTN menyemai dan mengukuhkan kecintaan kepada bangsa [nasionalisme/ kaumisme], tanah air [patriotisme], iaitu bentuk-bentuk assobiyyah dan wathaniyyah yang jelas maksiat; konsep jahiliyyah yang dibantras oleh Rasulullah SAW dan diperangi oleh Islam. Sabda Rasulullah SAW [maksudnya], "Bukan daripada kami [umat Islam] sesiapa yang menyerukan kepada assobiyyah, berperang atas assobiyyah, dan mati kerana assobiyyah' [Hadith Riwayat Abu Dawud]

Indoktrinasi agar mentaati pemimpin secara membabi buta, tanpa syarat dan tanpa kecuali, juga jelas merupakan suatu bentuk kemaksiaan kepada Allah SWT, kerana para pemimpin yang ada sekarang ini memerintah dengan sistem sekular dengan menerapkan undang-undang kufur ke atas kita semua, bukan memerintah dengan berlandaskan hukuk-hukum syara'. Tidak melaksanakan syari'at ke atas umat Muslimin merupakan bentuk kemaksiatan terbesar berbanding maksiat-maksiat lainnya, kerana dari sinilah punca lahirnya segala maksiat lain yang begitu banyak berlaku di dalam negara.

Memuhasabah Pemimpin Adalah Wajib

Islam bukan sekadar mengharamkan mentaati pemimpin yang memerintah dengan maksiat, iaitu dengan undang-undang kufur, malah Islam mewajibkan ke atas setiap umatnya untuk melakukan muhasabah (menegur dan membetulkan) pemimpin yang mengerjakan keharaman tersebut. Haram dan berdosa bagi setiap Muslim yang berdiam diri terhadap pemimpin yang melakukan kemaksiatan ketika dilaksanakannya undang-undang kufur tersebut.

Penguasa wajib dimuhasabah apabila mereka menyeru kepada maksiat [dengan mewajibkan rakyat supaya mentaati undang-undang kufur], merampas hak-hak rakyat, mengabaikan kewajipan-kewajipan mereka terhadap rakyat, melalaikan salah satu urusan rakyat, menyimpang dari hukum-hukum syarak, atau memerintah dengan hukum selain yang telah diturunkan oleh Allah SWT. lmam Muslim meriwayatkan hadith dari Umi Salamah, bahawa Rasulullah SAW bersabda [maksudnya], "Akan ada para pemimpin, lalu kalian mengetahui kema'rufannya dan kemungkarannya, maka sesiapa sahaja yang membenci [kemungkaran]nya dia akan bebas [dari dosa], dan sesiapa saja yang mengingkarinya dia akan selamat. Tetapi sesiapa yang rela dan mengikutinya [dia akan celaka]. Mereka bertanya, "Tidakkah kita perlu memerangi mereka?". Baginda bersabda, "Tidak, selama mereka masih menegakkan solat [hukum Islam]".

Dari Abi Sa'id al-Khudri yang menyatakan, Rasulullah SAW bersabda [maksudnya], "Sesiapa sahaja di antara kalian yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia merubahnya dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka dengan lisannya. Jika tidak mampu, maka dengan hatinya. Dan itulah [dengan hati] tanda selemah-lemah iman]". Riwayat ini menjelaskan lagi maksud hadith sebelumnya bahawa, Rasulullah SAW telah memerintahkan agar mengingkari seseorang penguasa, bahkan wajib mengingkarinya dengan cara apapun yang dapat digunakan, yang bertepatan dengan syara', baik dengan tangan ataupun dengan lisan, dan sekurang-kurangnya dengan hati, jika penguasa tersebut tidak berhukum dengan hukum-hukum Allah SWT di dalam pemerintahannya. Hadith-hadith ini menjelaskan wajibnya pemimpin dan yang dipimpin bersama-sama menegakkan amar ma'ruf dan nahi munkar. Kerana itu, hadith-hadith ini menjelaskan hukum tentang wajibnya memuhasabah penguasa yang melakukan kemaksiatan.

Selain hadith-hadith itu, terdapat bagitu banyak hadith yang menyentuh tentang penguasa secara khusus, yang bermaksud ta'kid [penguatan] peri pentingnya melaksanakan kewajipan memuhasabah penguasa. Dari Umu 'Atiyah dari Abi Sa'id yang menyatakan, Rasulullah SAW bersabda [maksudnya], "Sebaik-baik jihad adalah [mengucapkan] kata-kata yang haq [benar] di hadapan penguasa yang zalim". Ini merupakan nash khusus berupa muhasabah yang wajib dilakukan terhadap seseorang penguasa, dalam bentuk perintah ke atas setiap umat Islam menyatakan kata-kata yang haq [benar] kepadanya. Maka, perjuangan untuk meluruskan para penguasa yang merampas hak-hak rakyat, atau mengabaikan kewajipan-kewajipan mereka kepada rakyat, atau yang menyuruh kepada maksiat, atau yang menerapkan hukum-hukum kufur, hukumnya adalah fardhu ke atas setiap Muslim. Allah SWT telah memfardhukannya. Bahkan, Rasulullah SAW telah meletakkannya seperti jihad, malah sebaik-baik jihad, sehingga seakan-akan baginda bersabda, "sebaik-baik jihad di sisi Allah adalah perjuangan menentang penguasa yang zalim". [Taqiyuddin an-Nabhani, Nizamul Hukmi fil Islam].

Rasulullah SAW telah mendorong setiap Muslim agar menentang para penguasa yang zalim, bukan mentaatinya, walau apapun ancaman yang bakal menimpanya di dalam rangka melakukan tugas yang mulia itu, walau sehingga mengakibatkan seseorang itu terbunuh sekalipun. Rasulullah SAW bersabda, "Penghulu para syuhada' adalah Hamzah, serta seseorang yang berdiri di hadapan penguasa yang zalim, lalu dia menasihatinya, kemudian dia dibunuh [oleh penguasa tersebut". [Riwayat al-Hakim]. Hadith ini merupakan bentuk pengungkapan yang paling tegas, yang mendorong setiap orang yang beriman supaya berani menanggung segala risiko, sekalipun risiko kematian, dalam rangka melaksanakan kewajiipan muhasabah terhadap para penguasa yang zalim itu. Dan ganjaran yang paling besar [mati sebagai sayyidu syuhada'] menanti sesiapa yang melakukan tugas yanag mulia ini.

Terdapat segelintir umat Islam yang keliru dalam mentaati pemimpin yang menyeru kepada kemaksiatan, kerana salah memahami hadith berkenaan pemimpin yang 'mendirikan solat'. Auf bin Asyja'i berkata, : "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, "Sebaik-baik pemimpin adalah mereka yang kalian cintai, dan mereka pun mencintai kalian; mereka mendoakan kalian dan kalian pun mendoakan mereka. Seburuk-buruk pemimpin kalian adalah mereka yang kalian benci dan mereka pun membenci kalian; kalian melaknat mereka dan mereka pun melaknat kalian." Ditanyakan kepada Rasulullah SAW, "Wahai Rasulullah, tidakkah kita perangi sahaja mereka itu?". Baginda menjawab, "Jangan selama mereka masih menegakkan solat di tengah-tengah kalian".

Mereka yang keliru, memahami 'solat' dengan erti 'sembahyang'. Justeru, mereka berhujah bahawa kita wajib mentaati pemimpin selagi pemimpin tersebut masih mengerjakan sembahyang. Walhal, yang dimaksudkan 'menegakkan solat' di dalam hadith di atas adalah 'memerintah dengan Islam, iaitu menegakkan seluruh hukum syarak'. Ungkapan ' aqaamu fi kum as-solah' [menegakkan solat di kalangan kamu] adalah merupakan pembahasan majaz [analogi] iaitu 'Itlaqul juz'i wa iradatul kulli [menyebut sebahagian tertentu dengan maksud keseluruhan]. Seperti firman Allah SWT, 'fa tahriru raqabah' [maka merdekakan hamba], [TQS al-Mujadalah (58):3]; yang dimaksudkan adalah 'memerdekakan hamba secara keseluruhan', bukan hanya raqabah [hamba mukatab] sahaja. Tidak menegakkan solat atau tidak melaksanakan solat di dalam hadith yang berkenaan, maksudnya adalah tidak memerintah dengan hukum-hukum yang Allah SWT telah turunkan, atau memerintah dengan hukum-hukum kufur sehingga penampakan kekufuran tersebut jelas tanpa diragukan lagi [Taqiyuddin an-Nabhani, Nizamul Hukmi fil Islam]

Terdapat juga pandangan oleh mereka yang keliru bahawa memuhasabah pemimpin hendaklah dilakukan secara sembunyi-sembunyi dengan 'menarik tangan mereka ke belakang'. Walhal, berdasarkan banyak hadith, termasuk yang telah dibincangkan di awal tadi, Rasulullah SAW memerintahkan iaitu, muhasabah kepada pemimpin wajib dilakukan secara terang-terangan. Malah, generasi awal umat Islam telah membuktikan hal ini. Diriwayatkan semasa pemerintahan Khalifah Umar al-Khaththab ra, seorang wanita telah memuhasabah tindakan Saidina Umar ra yang melarang wanita meminta mahar (mas kawin) yang tinggi, dan bagi yang telah mendapat mahar yang tinggi harus mengembalikannya. Wanita tersebut lalu memuhasabah Saidina Umar ra kerana beliau telah menetapkan sesuatu yang bertentangan dengan al-Quran, [Surah an-Nisa', ayat 20]. Saidina Umar ra, di dalam kapasitinya sebagai seorang ketua negara [Khalifah], terus mengakui kesilapannya dan membenarkan pendapat perempuan tersebut. Saidina Umar ra juga pernah dimuhasabah secara terang-terangan di dalam urusan pembahagian ghanimah [harta rampasan perang] berupa kain buatan Yaman. Masing-masing secara adil mendapat sehalai kain seorang. Tetapi Khalifah Umar ra sendiri dilihat memakai kain tambahan untuk gamis yang dipakainya. Salman al-Farisi mencelah ketika Saidina Umar ra sedang berkhutbah, "Kami tidak akan mendengar dan mentaatimu sehingga engkau menjelaskan dari mana engkau mendapat kain tambahan untuk gamismu". Saidina Umar ramenjawab, "Jangan engkau terburu-buru mencelaku'. Lalu Saidina Umar ra memanggil anaknya, Abdullah bin Umar dan berkata, "Aku tanya kepadamu, dengan nama Allah, bukankah gamis yang akau pakai ini adalah bahagian hadiah darimu? " Abdullah bin Umar menjawab, "Benar wahai Amirul Mukminin, itu adalah bahagianku yang aku hadiahkan kepadamu". Salman lalu berkata, "Kalau begitu, teruskanlah khutbahmu, kami akan mendengar dan mentaatimu" [Syeikh Abdul Aziz al-Badri, Al-Islam Baina al-Ulama' wa al-Hukkam]

Begitulah hebatnya kaum Muslim ketika itu dengan kewajipan memuhasabah pemimpin, dan juga betapa hebatnya ketaqwaan seorang pemimpin di dalam menerima muhasabah daripada rakyatnya. Muhasabah dilakukan secara terbuka, dan langsung tidak timbul soal 'menarik tangan ke belakang'.

Berdasarkan nash-nash, kita dapat memahami bahawa melaksanakan kewajipan memuhasabah pemimpin itu boleh dilakukan dengan pelbagai uslub [cara/teknik], sama ada secara bersembunyi [tertutup], berhadapan secara terang-terangan, melalui penulisan, cd, ceramah, masirah [demonstrasi aman], dan sebagainya. Perbuatan memuhasabah, melalaui apa cara sekalipun [yang syari'i], adalah wajib dan jauh lebih baik daripada hanya memendamkan kebencian di dalam hati [bi al-qalb]. Haram hukumnya berdiam diri atau tidak melakukan apa-apa ketika berlaku kemaksiatan, dan yang lebih buruk lagi, mengkritik atau menghentam pula orang yang melaksanakan kewajipan memusahabah itu.

Khatimah

Wahai para pemimpin umat Islam! Sesungguhnya indoktrinasi yang kalian lakukan ke atas rakyat dengan menanamkan sikap dan jiwa assobiyyah dan wathaniyyah adalah haram. Indoktrinasi agar rakyat mentaati kalian secara semberono dan membabi buta juga adalah haram. Berhentilah dari segala kerja kemaksiatan yang kalian lakukan itu dan janganlah kalian memaksakan kemaksiatan tersebut ke atas rakyat pula. Buanglah keegoan kalian dan tundukkanlah nafsu kalian kepada hukum Allah SWT. Ingatlah tatkala orang yang mulia tersebut berucap, pada saat beliau dilantik menjadi Khalifah selaku pemimpin tertinggi umat Islam sedunia, katanya, "Apabila tindakan aku benar, maka ikutilah aku, dan apabila aku menyimpang [dari hukum syara'], maka luruskanlah aku".

Seorang pemuda, sambil menghunuskan pedangnya ke arah sang pemimpin tadi, berkata lantang, "Wahai Umar! Sekiranya engkau menyimpang [dari hukum syara'] maka pedangku inilah yang akan meluruskanmu".

Lalu, dijawab oleh pemimpin agung itu sambil tersenyum, "Segala puji bagi Allah yang telah memberikan keberanian kepada seorang hamba-Nya yang bersedia meluruskan Umar dengan pedangnya".
Subhana Allah !

Sungguh, jika sahaja ada keindahan seperti ini di dalam hubungan antara pemimpin dan rakyat, kita semua tidak lagi memerlukan indoktrinasi melalui Program Bina Negara kelolaan BTN ini.
Sumber: [HTM: Southun Nahdhah]

2 comments:

  1. semoga segala popaganda dan agenda trsembunyi musuh2 ISLAM, ALLAH tnjukkan dan semoga kita brmuhasabah srta mmprbaikinya..amin (^_^)

    ReplyDelete
  2. copy paste je ke...n satu lagi sy jumpa yr comment "Assalamu 'alaikum TFI & semua yg melayari blog ini,

    Kita semua pun tertunggu-tunggu sangat hendak mengucakan tahniah yang serupa kepada majlis raja-raja, majlis legislatif kebangsaan,
    majlis fatwa kebangsaan, jakim, majlis/persatuan peguam syari'i kebangsaan, parti-parti politik umat lslam & phak-pihak lain yang berotoriti tentang 'memelihara' dan 'melindungi' lslam.

    Namun, jangan terlalu berharap kerana di negara ini yg paling atas adalah Perlembagaan Negara, baru kerajaan, baru raja-raja dan lslam duduk nombor empat di dalam hirarki ikut perlembagaan kita.

    Suara rakyat; untung sabut timbul. Yang pasti suara mereka hanya diminta empat atau lima tahun sekali, walau bagaimana kuat sekali pun mereka meranung. Tak percaya, tunggu & lihat sahaja apa yang dapat dilakukan oleh pihak2 yang berkenaan sekaklipun telah banyak diadakan bantahan dan demonstrasi tentang isu ini."

    hai takkan nak tanya majlis raja2..siapa yg timbulkan isu ni?? siapa pendokongnya..susah2 tanya sajalah khalid samad yg sgt menyokong hal ni..jgn nak salah tuding pula ye..klau tak tau link khalid samad ni sy sediakan:
    http://www.khalidsamad.com/2010/01/ismu-allah-siar-ulang.html

    ReplyDelete